NOVEMBER 2022

Masyarakat Cina Diyakini Bersama GPS Parlimen Petra Jaya


KUCHING: Pengundi masyarakat Cina diyakini  akan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan dan sambutan komuniti itu terhadap GPS amat menggalakkan.

Beliau yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sehubungan itu menzahirkan terima kasih kepada masyarakat itu.

“Terima kasih dan saya yakin mereka akan bersama-sama dengan kita (GPS) pada pilihan raya kali ini," katanya selepas program menyantuni peniaga di Thomson Corner dan masyarakat di sekitar kawasan Jalan Nanas, di sini.

Beliau turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki.

Fadillah menjelaskan, pendekatan bertemu dengan penduduk kawasan itu penting bagi mendedahkan agenda pembangunan berterusan dibawa GPS.

"Pada masa sama, kita mahu menerangkan kepada pengundi bahawa sokongan mereka penting bagi memastikan kemenangan bergaya untuk GPS,” katanya.

Pada pilihan raya ini, Fadillah akan ditentang calon Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Datuk Othman Abdillah dan Sopian Julaihi dari Pakatan Harapan (PH).

Sumber dari : Jiwa Bakti